fb fb fb fb fb

AKEPT, UiTM raih pengiktirafan di Persidangan Pendidikan Tinggi Istanbul

Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, Timbalan Pengarah AKEPT (kanan) dan pasukan UiTM bersama sekumpulan penyelidik dari Universiti Istanbul /Foto UITM

ISTANBUL, 30 Disember 2024 Kolaborasi Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) bersama Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih pengiktirafan selepas dinobatkan sebagai penerima anugerah “Best Paper Award” pada Persidangan International Conference on Current Issues in Education (IC-CIE-2024) yang diadakan di sini.

Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah berkata kertas kerja berkenaan menekankan pendekatan Pengurusan Bakat berasaskan Kompetensi (Competency-based Talent Management) untuk memperkukuhkan kepimpinan institusi pendidikan tinggi.

"Menerusi model kepimpinan tersebut, AKEPT, sebagai entiti di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi memfokuskan enam teras nilai kepimpinan dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang berdaya saing," katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau, antara pendekatan yang digariskan oleh AKEPT termasuk penggunaan instrumen Behavioral Event Interview (BEI) bagi mengenal pasti jurang kompetensi dalam kepimpinan.

Kumpulan penyelidik tersebut yang diketuai oleh Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Bakat AKEPT, Profesor Madya Dr. Norazharuddin Shah Abdullah, bersama ahli kumpulan termasuk Azian Azman (Ketua Penolong Setiausaha AKEPT) serta dua wakil dari UiTM, Profesor Dr. Erlane K Ghani dan Profesor Dr. Ismie Roha Mohamed Jais menampilkan pembentangan kertas kerja bertajuk “An Institutional Leadership Framework on University Academics Decision to become Institutional Leaders,”

Model kepimpinan tersebut digerakkan dengan kerjasama ekosistem universiti awam, selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 yang menekankan pembangunan pemimpin berkredibiliti.

Dengan pengiktirafan antarabangsa yang diterima, AKEPT dan UiTM terus komited untuk memacu agenda pembangunan kepimpinan pendidikan tinggi.

Kejayaan berkenaan membuktikan kerjasama strategik dan penyelidikan berimpak tinggi mampu meningkatkan kecemerlangan pendidikan negara di peringkat global.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD