ALOR SETAR, 27 April – Tumpuan kepada elemen adab dan saling menghormati yang diamalkan di Akademi Sains Pendang boleh dijadikan contoh oleh sekolah-sekolah lain di seluruh negara, termasuk di Kedah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata perkara itu bertepatan dengan fokus Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terhadap pembentukan karakter, yang akan menjadi antara teras utama Kurikulum Persekolahan 2027.
Katanya, saranan itu dibuat selepas mendengar pembentangan perkongsian daripada Akademi Sains Pendang mengenai amalan terbaik yang wajar dijadikan rujukan oleh sekolah lain di negeri ini dan seluruh negara.
"Apa yang menarik perhatian saya adalah mengenai tumpuan kepada elemen adab dan saling menghormati yang diamalkan di Akademi Sains Pendang," katanya.
Berliau berkata demikian menerusi kenyataan selepas menghadiri pembentangan analisis keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 peringkat Negeri Kedah, di sini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman.
Dalam pada itu, Fadhlina turut menyarankan semua sekolah di Kedah memberi perhatian kepada usaha memartabatkan Pendidikan Islam.
"Ini termasuk memberi fokus kepada literasi al-Quran, tadabbur al-Quran dan penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. Amalan-amalan terbaik perlu diketengahkan untuk menjadi contoh kepada semua sekolah," ujarnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Negeri Kedah atas prestasi akademik yang semakin baik, termasuk di kawasan pedalaman.
Katanya, keputusan untuk meneruskan peperiksaan SPM 2024 dalam situasi banjir tahun lalu ternyata tepat apabila kehadiran calon di negeri-negeri terjejas mencecah sehingga 97 peratus.
"Prestasi sekolah-sekolah harian di Kedah dan seluruh negara juga semakin meningkat. Saya percaya reformasi sekolah yang sedang giat berjalan ketika ini mampu memacu kecemerlangan di semua jenis sekolah," katanya.
Pada kesempatan itu, Fadhlina turut merakamkan penghargaan dan ucapan selamat bersara kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Kedah, Ismail Othman.
"Terima kasih atas khidmat bakti selama 35 tahun, kepimpinan serta dedikasi yang cemerlang. Perjuangan ini masih panjang. Semoga Haji Ismail dapat terus menyumbang kepada pendidikan negara dalam ruang yang berbeza selepas ini," katanya.