KUALA LUMPUR, 23 Mei - Akademi Pengajiaan Turath bakal diperkenal kerajaan negeri Selangor bagi memastikan pendidikan kitab warisan Islam dilaksana secara berterusan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata menjadikan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam sebagai lokasi pengajian, akademi itu bakal mengetengahkan silibus yang lebih sistematik.
"Akademi ini kita akan menyediakan kelas untuk orang awam dan pada masa sama kita akan sediakan kelas untuk mereka yang ingin mendalami dengan lebih terperinci. Kita akan adakan kerjasama dengan pihak universiti supaya kajian dan penelitian terhadap kitab ini dapat dilakukan dengan lebih berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas temubual khas bersama Selangorfm mengenai Festival Turath Islami Negeri Selangor 2024 di Angkasapuri Kota Media, di sini.
Festival Turath Islami Selangor akan berlangsung selama lapan hari bermula 26 Mei hingga 2 Jun ini.
Festival tersebut bakal diisi dengan 12 acara utama bagi menghidupkan warisan Islam dan dijangka menarik 30,000 penyertaan.