fb fb fb fb fb

Anugerah Tokoh Khas Permuziuman Negara akan diwujudkan - Aaron Ago

GEORGE TOWN, 23 Mei - Kementerian Perpaduan akan menyegerakan dan mewujudkan Anugerah Tokoh Khas Permuziuman Negara yang merupakan antara anugerah prestij di bawah Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Jabatan Muzium Malaysia (JMM) kini berada di peringkat memuktamadkan kertas cadangan bagi merealisasikan perkara tersebut.

Beliau turut berharap ia menjadi realiti pada tahun akan datang.

Aaron berkata, agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi kaum akan sentiasa menjadi keutamaan kementeriannya berikutan muzium memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri dan perpaduan masyarakat yang sihat.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa Program Bermalam di Muzium yang menjadi acara tradisi JMM bersama pelajar sekolah akan diluaskan kepada belia hingga 30 tahun.

Sementara itu, Aaron juga mengumumkan agar Program Bermalam di Muzium yang merupakan program tradisi JMM sejak 2007 melibatkan pelajar sekolah di seluruh negara, diluaskan kepada belia hingga umur 30 tahun pada tahun ini.

Beliau berkata program terbabit akan dilaksanakan pada 30 hingga 31 Ogos bagi kategori pelajar, manakala kategori belia pada 12 hingga 13 Okt ini serta menyasarkan penglibatan 30 muzium berbanding 25 muzium pada tahun lepas.

Aaron berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024 peringkat Kebangsaan di Konvensyen Spice Arena dekat sini malam tadi.

Majlis penutupan tersebut dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Turut hadir, Timbalan Menteri Perpaduan, K. Saraswathy. 

Festival HMA merupakan program di bawah inisiatif Citra Nusa@Muzium yang merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran terhadap khazanah warisan negara dalam kalangan generasi muda.

HMA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 13 hingga 22 Mei di Dewan Sri Pinang, GeorgeTown dekat sini, menyaksikan penyertaan daripada 38 agensi, institusi dan muzium serta menarik kunjungan 200,000 pelawat secara fizikal dan dalam talian.

Customer Support