fb fb fb fb fb

AirAsia X diminta tambah penerbangan ke Tashkent, permintaan meningkat - TPM Fadillah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof/BERNAMA

TASHKENT, 24 Jun- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof meminta syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia X untuk meningkatkan kekerapan penerbangan ke Tashkent, Uzbekistan.

Beliau juga mencadangkan agar laluan baharu ke Samarkand dipertimbang, bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Jelasnya, permintaan itu timbul berikutan minat tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia dan Uzbekistan yang ingin menggunakan laluan tersebut, sama ada untuk melanjutkan pengajian, bercuti atau bekerja.

"Semasa saya berada di Samarkand, Gabenor dan Timbalan Gabenor Samarkand menyuarakan permintaan supaya diwujudkan sekurang-kurangnya satu penerbangan terus dari Kuala Lumpur ke Samarkand. Saya akan membawa cadangan ini ke AirAsia dan berharap kita dapat membuka laluan terus dari Samarkand.

Ini khususnya untuk memudahkan mereka yang ingin menunaikan Umrah dari Kuala Lumpur, dengan singgah sekurang-kurangnya dua malam di Samarkand sebelum meneruskan perjalanan ke Jeddah atau Madinah. Begitu juga bagi mereka yang pulang dari Jeddah atau Madinah, boleh singgah terlebih dahulu di Samarkand," kata Datuk Seri Fadillah, hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Forum Perniagaan Malaysia-Uzbekistan 2025, di sini.

Terdahulu, AirAsia X mengumumkan penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Tashkent, Uzbekistan bermula 15 Oktober 2025 dengan kekerapan tiga kali seminggu dalam usaha memperluas laluannya ke Asia Tengah.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM