fb fb fb fb fb

FAMA meterai MoU bersama Luxamana, perkukuh logistik agromakanan negara

FAMA memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat tempatan, Luxamana Sdn Bhd, dalam usaha memperkukuh sistem logistik agromakanan negara / Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) hari ini memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama syarikat tempatan, Luxamana Sdn Bhd, dalam usaha memperkukuh sistem logistik agromakanan negara, khususnya melibatkan penghantaran produk segar dan sejuk beku secara lebih efisien.

Kerjasama strategik itu menyaksikan Luxamana dilantik sebagai penyedia logistik rasmi di bawah platform AgroBazaar Express, sekali gus memberikan pilihan lebih meluas kepada usahawan untuk penghantaran terus ke pintu pengguna.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Sekuriti Makanan dan Operasi) FAMA, Shahrizan Sudiman, kerjasama tersebut akan memperluaskan jaringan logistik FAMA serta meningkatkan keberkesanan penyampaian produk makanan kepada pengguna akhir.

“FAMA kini memperbagaikan kerjasama dengan beberapa syarikat penghantaran termasuk Luxamana sebagai usaha memperkukuh sistem logistik menerusi platform Agro-Express yang telah diintegrasikan dengan AgroBazaar Online,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangani MoU berkenaan di ibu negara.

Platform AgroBazaar Online, yang kini menawarkan lebih 150,000 produk jualan, telah menjadi antara pemacu utama pemasaran digital produk agromakanan tempatan sejak tahun 2020.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Luxamana Sdn Bhd, Uzair Haqimy Azman, menegaskan bahawa syarikatnya memandang serius aspek keterjaminan makanan, khususnya dari segi kebersihan dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) logistik.

“Aspek keterjaminan makanan perlu diberi keutamaan berbanding sistem itu sendiri, termasuk penekanan terhadap kebersihan kenderaan dan pengendalian makanan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan Luxamana kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal logistik dan merancang untuk membuka pusat pengedaran (DC) di Perak dan Perlis dalam masa terdekat.

Pengembangan ke Sabah dan Sarawak pula dijangka dilaksanakan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

Pensijilan halal logistik disifatkan sebagai nilai tambah penting dalam meningkatkan keyakinan pengguna terhadap keselamatan dan kebersihan produk makanan yang dihantar.

Kerjasama itu juga dilihat sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh penyertaan syarikat Bumiputera dalam sektor logistik strategik, sejajar dengan matlamat negara mempertingkatkan keterjaminan makanan menerusi rantaian bekalan yang mampan dan berdaya saing.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN