KUALA LUMPUR, 24 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk golongan elit memberi kerjasama terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040).
Datuk Seri Anwar mendedahkan bahawa terdapat kekangan daripada kelompok terbabit, ketika cadangan pelan itu dibawa ke meja rundingan.
“Apabila kita memuktamadkan pelan ini, tentunya ia tidak akan memenuhi hasrat semua pihak. Bila kita perkenalkan perumahan rakyat dalam kekangan yang ada, kita juga hadapi masalah kerana elit yang sudah hidup selesa tidak mahu diganggu. Bila dengan keadaan terbatas begitu, mereka (kelompok elit) rasa ada tekanan, tentunya kita harus bincang dan santuni.
Tetapi saya nak tekankan di sini, kerana ada pengalaman kita bangunkan beberapa projek perumahan MADANI di mana bantahan itu dari golongan elit, saya minta mereka faham dan beri kerjasama," kata Datuk Seri Anwar ketika berucap pada Majlis Peluncuran PTKL2040 di sini, hari ini.
Perdana Menteri turut memberi jaminan bahawa pembangunan lebih terancang itu tidak akan meminggirkan golongan berpendapatan rendah, termasuk peniaga kecil, sekali gus memastikan kehidupan selesa di ibu kota.
"Kita kena bangunkan semula (Kuala Lumpur). Kita mahu mereka (berpendapatan rendah) merasakan mereka juga warga Kuala Lumpur bukan warga terpinggir di Kuala Lumpur," tambahnya.