SEPANG, 26 Februari- Sebanyak 16,000 tempat duduk pada tambang tetap melalui 90 penerbangan lewat malam bagi Semenanjung, Sabah dan Sarawak sempena Hari Raya Aidilfitri ditawarkan oleh syarikat penerbangan AirAsia.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata kerajaan berusaha menjadikan perjalanan udara lebih mudah diakses oleh semua rakyat melalui kerjasama erat dengan pemain industri utama seperti AirAsia dan memperkukuh kesalinghubungan bagi mengurangkan kos perjalanan untuk kesejahteraan rakyat.
"Langkah ini secara langsung menangani permintaan perjalanan puncak dan memberikan lebih fleksibiliti untuk rakyat Malaysia merancang perjalanan pulang.
"Sebagai tambahan kepada usaha AirAsia, Kementerian Pengangkutan (MOT) akan terus memberi subsidi pembelian tiket penerbangan sehala dari Semenanjung Malaysia ke Sabah, Sarawak, dan Labuan semasa musim perayaan utama tahun ini dan tahun depan. Subsidi akan terus digunakan untuk Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan, perayaan Gawai dan Krismas", katanya.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Air Asia Fixed Fare Flights di Sepang.
Sementara itu, inisiatif FLYsiswa sebanyak RM499 merupakan usaha berterusan bagi mengurangkan beban kewangan para penumpang, khususnya para pelajar yang melakukan perjalanan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Tiket ini sudah amat berpatutan, tambahan juga pelajar juga telah diberikan RM400, mereka boleh gunakan itu untuk tebus.
Tempahan boleh dibuat bermula hari ini sehingga 5 April 2025 di airasia.com dan aplikasi AirAsia MOVE.