fb fb fb fb fb

Airasia Super App meterai persefahaman dengan GSC-CIMB Securities Sdn Bhd

KUALA LUMPUR, 7 Mac - Airasia Super App, syarikat di bawah Capital A Bhd memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd untuk kerjasama dalam menjadikan perdagangan ekuiti dan pelaburan lebih mudah diakses dan mampu dimiliki semua orang terutamanya kepada golongan bukan pelabur.

Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata inisiatif itu adalah sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang bertujuan untuk memperkasakan pelabur dalam membina masa depan lebih baik dengan menawarkan nasihat pelaburan yang berkualiti dan keupayaan yang dipertingkatkan dari segi teknologi untuk memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang.

“Sebagai sebuah jenama yang mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam menyediakan produk dan perkhidmatan yang boleh dipercayai oleh pelanggan di seluruh Asia Tenggara, airasia Super App dan CGS-CIMB Securities akan menggabungkan kekuatan masing-masing untuk menjadikan pelaburan pasaran modal lebih mudah diakses, berpatutan dan inklusif secara digital kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata kerjasama itu bertujuan untuk membawa pelaburan pasaran modal kepada orang ramai dengan memanfaatkan matlamat pelanggan dan strategi terbaik oleh CGS-CIMB Securities dan Capital A.


(FOTO BERNAMA)

“Kami percaya kami dapat menyediakan perkhidmatan kewangan terbaik yang sebelum ini hanya tersedia untuk golongan tertentu dan terhad, seterusnya memenuhi matlamat kami untuk menyediakan perkhidmatan untuk semua golongan,” kata Ketua Pegawai Teknologi Kewangan airasia Super App, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil.

Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities Ruzi Rani Ajith berkata dengan tumpuan pada elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG), firma broker saham itu akan mengimbangi kedudukan pasaran dengan menyediakan kursus kewangan supaya keputusan pelaburan dilakukan dengan pengetahuan dan kebijaksanaan.

“Pada akhirnya, kami mahu mencipta peluang pelaburan kepada semua golongan, dengan platform yang mudah digunakan dan berpatutan,” katanya.

Airasia Super App ialah platform pengembaraan sehenti, e-dagang dan teknologi kewangan yang menawarkan pengguna lebih 15 barisan produk dan perkhidmatan melalui aplikasi super serta laman sesawang airasia.com.

Media Baharu