fb fb fb fb fb

Banjir kilat: 140 keluarga di Kampung Pasir dipindahkan

KUALA LUMPUR, 7 Mac- Kira-kira 140 buah keluarga di Kampung Pasir, di sini, dipindahkan akibat banjir kilat sejak hujan lebat berterusan pada petang Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said mengesahkan, dua jentera bersama 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai dan BBP Hang Tuah dikejarkan ke lokasi.

"Kesemua penduduk terjejas banjir telah dipindahkan ke Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy, Kampung Pasir di sini setakat 8 malam ini.

"Pihak kami menerima aduan kejadian air naik di kawasan ini sekitar pukul 5.57 petang dan ketika tiba di lokasi, aras air mencecah kira-kira 5 kaki iaitu pada paras pinggang," katanya ketika dihubungi Portal Berita RTM.

Beliau berkata, sekitar pukul 7.30 malam, banjir kilat berkenaan beransur surut , namun pihak bomba masih berada dalam keadaan bersedia mengikut prosedur 24 jam sehingga keadaan kembali pulih sepenuhnya.

(Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said ketika lintas langsung bersama Berita RTM, pada Isnin)

"Anggota BBP Pantai membabitkan sepasukan 10 orang diletakkan dalam kedaan berjaga-jaga sehingga tamat 24 jam prosedur lazim apabila berlaku banjir kilat.

"Sekiranya berlaku hujan berterusan sehingga berlaku banjir kilat, anggota kami akan dibantu anggota dari balai berhampiran dengan kadar segera," katanya.

Sementara itu, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima sembilan kes di seluruh ibu kota berkaitan banjir kilat.

"Antara kes yang diterima membabitkan sebuah taska di Cheras yang dinaiki air dan menyebabkan tebing tanah runtuh di premis berkenaan.

"Dalam operasi itu, kami berjaya membawa keluar 40 kanak-kanak yang juga murid di taska berkenaan serta guru selain memantau kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pihak bomba juga memindahkan orang awam di Jalan Raja Bot, Kampung Sungai Periuk dan Kampung Baru selepas kawasan itu dinaiki air setinggi tiga meter.

"Mangsa dipindahkan ke pusat perpindahan sementara (PPS) Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru. Keadaan di lokasi terbabit dilaporkan sudah stabil selepas air surut.

"Selain itu, banjir kilat setinggi dua meter dilaporkan di Jalan Kuchai Lama yang menyebabkan 12 kereta terperangkap dengan ada mangsa berdiri di atas bumbung kenderaan sebelum diselamatkan pihak bomba," katanya.

Katanya, selain itu, banjir kilat juga dilaporkan berlaku di Jalan Air Keroh-Air Panas, Setapak; Jalan Leboh Ampang; Taman Salak Selatan; Taman U-Thant, Jalan Ampang dan Taman Sri Petaling.

Media Baharu