MARUDI, 20 September - Paras air sungai di beberapa kawasan di Marudi dilaporkan berkurang dengan keadaan cuaca cerah setakat pagi ini.
Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Marudi, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Marudi Mirwan Shah Masri, paras air di Sekolah Kebangsaan (SK) Benawa berada pada 0.91 meter, manakala di Kampung Benawa mencatatkan 1.09 meter.
"Situasi setakat ini adalah terkawal dan selamat, namun penduduk dinasihatkan agar sentiasa berwaspada terhadap perubahan paras air sungai dan segera berpindah ke PPS sekiranya keadaan tidak selamat.
"Pemantauan tersebut dijalankan oleh dua anggota Sukarelawan Pertahanan Awam Marudi bermula pukul 6.30 pagi dan selesai pada pukul 7.30 pagi," menurut laporan itu.
Sementara itu, pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Suarah Marudi masih beroperasi dengan jumlah penduduk terjejas banjir masih kekal 15 orang dari empat keluarga.