KUALA LUMPUR, 10 April- Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025-2028 akan melonjakkan peranan ASEAN sebagai penanda aras global dalam tadbir urus dan pembangunan mampan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pelan itu sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur dan rakan pembiaya.
"Pelan tindakan ini membawa komitmen AIF kepada visi pertumbuhan tinggi, nilai dipertingkat kepada peminjam, perkongsian baharu dan kehadiran serantau lebih tinggi.
"Malaysia percaya AIF mewakili mekanisme penting dalam menangani cabaran infrastruktur rantau ini dan menyokong evolusi ke arah ASEAN lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif", katanya semasa majlis pelancaran pelan tindakan tersebut, di sini.
Mengulas lanjut, beliau berkata antara garis utama pelan ini, termasuk meningkatkan kapasiti kewangan AIF serta memperkenalkan pelbagai kemudahan pembiayaan inovatif.
Pelan tersebut dilancarkan sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di ibu negara.
Setakat ini, AIF telah membuat komitmen melebihi AS$500 juta dan menyalurkan AS$460 juta untuk menyokong 15 projek di enam negara ASEAN.