fb fb fb fb fb

Aidilfitri: Tarikh lihat anak bulan Syawal pada 9 April

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang Selasa, 9 April 2024 bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijrah di 29 lokasi di seluruh negara.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja memaklumkan, pengisytiharan tarikh Hari Raya Puasa (Aidilfitri) akan diumumkan pada malam berkenaan melalui radio dan televisyen.

“Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja, Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, mengisytiharkan bahawa tarikh bagi melihat anak bulan Syawal ialah pada petang Selasa, 9 April 2024 Masehi bersamaan 29 Ramadan 1445 Hijriah,” menurut kenyataan hari ini.

Majlis Raja-raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Lokasi dikenal pasti untuk melihat anak bulan Syawal adalah di Pontian Kecil, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Negeri Sembilan, Bukit Melawati, Kuala Selangor, Bukit Jugra, Banting, Balai Cerap Selangor Sabak Bernam di Selangor serta Pantai Pasir Panjang, Manjong di Perak dan Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Lokasi lain ialah Kampung Pulau Sayak Kuala Muda, Pemandangan Indah Pulau Langkawi dan Menara Alor Setar di Kedah, Bukit Besar, Kuala Terengganu, Bukit Geliga, Kemaman, Pulau Perhentian, Besut dan Balai Cerap KUSZA, Setiu di Terengganu.

Lokasi melihat anak bulan di Kelantan pula ialah Bukit Peraksi, Pasir Puteh, Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai dan Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu, manakala di Sarawak ialah Pusat Falak, Miri, Teluk Bandung, Kuching; dan Tanjung Batu, Bintulu.

Di Sabah ialah Balai Cerap Al-Biruni, Putatan di Pahang ialah Bukit Tanjong Batu, Nenasi, Gunung Berincang, Cameron Highlands dan Menara Kuantan 188.

Empat lagi lokasi adalah Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

SITI AISHAH MD ISA