KUALA LUMPUR, 4 Mei - Lebaran tahun ini wajar dimanfaatkan sebaiknya untuk menyantuni ibu bapa, ahli keluarga dan sahabat handai bagi mengeratkan lagi hubungan silaturrahim.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata ia berikutan kelonggaran Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diberikan kerajaan.
"Lebaran tahun ini pasti lebih bermakna dengan kelonggaran SOP berbanding sambutan dua tahun sebelum ini berikutan COVID-19," katanya kepada RTM ketika ditemui di Angkasapuri hari ini.
(Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan)
Dalam pada itu, Nadzim berharap ibu bapa dapat memantau dan menasihati anak-anak agar tidak terlalu bermain dengan telefon pintar atau gajet.
Ini bagi memastikan budaya kunjung mengunjung terus dikekalkan.
"Supaya masyarakat kita tidak terperangkap dengan keadaan yang ada pada hari ini, maknanya kalau kita tengah bercakap pun dia bermain dengan telefon. Ibu bapa nak pinjam telefon pun kadang sudah buat muka, jadi kita perlu tentukan budaya yang baik dan diamalkan secara berterusan," jelas beliau.