(Ahmad (kanan) melayani tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka
Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Kampung Alor Pasir, hari ini/BERNAMA)
TUMPAT, 4 Mei - Kelantan mengubah hari kelepasan am atau cuti umum sempena Hari Raya Aidilfitri lebih awal berbanding keputusan dibuat sebelum ini.
Tarikh asal pada 5 Mei iaitu Khamis diawalkan ke hari ini, 4 Mei.
Berikutan keputusan itu penjawat awam di negeri itu akan kembali bertugas esok.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata perubahan tersebut susulan sambutan Aidilfitri pada 2 Mei.
(Ahmad ketika ditemubual pemberita di kediamannya di Kampung Alor Pasir, hari ini)
Jelasnya, kerajaan negeri membuat keputusan selepas mengambil kira semua aspek.
"Sebab kita dah cuti umum peristiwa pada hari Khamis tetapi apabila berlaku hari raya awal sehari, kita terpaksa menarik, tarikh cuti jadi 3 hari jugalah. Insya-Allah kerajaan akan mencari jalan terbaik untuk mengatasi masalah ini jika ia berlaku lagi pada masa hadapan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyantuni tetamu pada majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Kelantan di kediamannya di kampung Alor Pasir, di sini hari ini.