fb fb fb fb fb

Aidilfitri: bekalan barang keperluan mencukupi

KOTA BHARU, 30 April- Menjelang sambutan Aidilfitri, orang ramai dinasihat tidak membeli bahan mentah barangan keperluan dalam kuantiti yang banyak.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata ia bagi mengelak berlaku ketiadaan bekalan terbabit sehingga mengakibatkan pengguna lain terkesan.

Kementerian turut memberi jaminan bekalan barangan mentah mencukupi sepanjang musim perayaan.

"Jadi nasihat saya kepada pengguna carilah bekalan ini daripada hari ini, cari dan biar bekalan ini ada di rumah kita dan tidak dinafikan ada orang ambil kesempatan bila dia beli ayam. Anak balik perantau duit ada sikit-sikit beli ayam untuk sebulan, kita jadi jangan beli macam tu, kita beli lepas Hari Raya kita beli semula dan kita jaga orang lain yang memerlukan kepada bekalan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Semarak Syawal Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong.


(Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh)

Kementerian juga telah berbincang dengan syarikat-syarikat pengeluar ayam dan pengimport daging, dengan bersedia memberi kerjasama dalam memastikan bekalan makanan di musim perayaan cukup.

Setakat ini pihaknya mendapati bekalan makanan asas masih mencukupi menerusi pemantauan yang dilakukan di pasar-pasar.

Pengguna juga berpeluang menikmati harga diskaun 10 hingga 20 peratus bagi bekalan mentah menerusi pelaksanaan Program My Best Buy Karnival Raya yang membabitkan 797 outlet pemasaran di seluruh negara.

Media Baharu