fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah buat keluarga Ahmad Rithauddeen

KUALA LUMPUR, 30 April- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Menteri Pertahanan Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail yang meninggal dunia semalam.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan rasa sedih dengan pemergian Allahyarham dan menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi dugaan.

Baginda berdua amat menghargai dan menyanjung tinggi khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

Allahyarham pernah dilantik sebagai Menteri Fungsi Khas bagi membantu Tun Abdul Razak di Kementerian Luar Negara pada tahun 1973 sebelum menjadi Menteri Maklumat dan Fungsi Khas pada tahun 1974.

(Allahyarham Tengku Tan Sri Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail meninggal akibat sakit tua.)

Allahyarham juga merupakan bekas Pengerusi UMNO Kelantan dan semasa hayatnya pernah dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1992 selain sempat mencurah bakti sebagai Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 1988.

Allahyarham Tan Sri Ahmad Rithauddeen menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Jalan Duta pada 8.43 malam semalam akibat sakit tua pada usia 94 tahun.

 

 

Media Baharu