fb fb fb fb fb

Aidilfitri: 3 juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang

(FOTO RTM)

GEORGE TOWN, 19 April-Kira-kira tiga juta kenderaan dijangka memasuki Pulau Pinang sempena Aidilfitri hujung minggu ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata peningkatan tersebut berlaku disebabkan orang ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing yang menyebabkan pertambahan jumlah kenderaan sekali gus kesesakan lalu lintas.

"Kadar kemasukan kenderaan yang memasuki Pulau Pinang pada hari biasa mencecah 2.1 juta dan dalam tempoh Aidilfitri ini kemungkinan jumlah itu akan bertambah kepada 3 juta", katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat polis daerah Timur Laut, di sini.

Mohd Shuhaily berkata pihaknya telah mengenal pasti tujuh lokasi panas kawasan kemalangan maut sempena Aidilfitri di negeri itu membabitkan lima daerah.

Antara kawasan-kawasan tersebut ialah Jalan Teluk Air Tawar ke Jalan Bagan Luar, Jalan Perusahaan Perai ke Jalan Kulim, Jalan besar Simpang Empat, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu/ Jalan Ayer Itam, Jalan Ayer Itam ke Paya Terubong, Jalan Sultan Azlan Shah dan Jalan Tun Dr Awang.


(Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain/ FOTO RTM)

Media Baharu