fb fb fb fb fb

Aidiladha: Teladani semangat pengorbanan Nabi Ibrahim

Timbalan Mufti Selangor Datuk Prof Dr Miszairi Sitris

KUALA LUMPUR, 8 Jun- Timbalan Mufti Selangor Datuk Prof Dr Miszairi Sitris menyeru masyarakat untuk meneladani semangat pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian, khususnya dalam institusi keluarga, sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.

Menurut beliau, nilai pengorbanan tidak hanya tertumpu kepada ibadah korban semata-mata, sebaliknya mencakupi kesediaan berkhidmat untuk orang lain dengan penuh keikhlasan.

“Kadang kita hanya memikirkan apa yang orang lain boleh beri pada kita. Tapi dalam konteks ini, dalam peristiwa yang berlaku kepada Nabi Ibrahim, sejauh manakah kesungguhan kita ini untuk mengorbankan ataupun berkhidmat kepada orang lain?”

Beliau turut menekankan kepentingan mendidik anak-anak sejak kecil agar memahami peranan dan tanggungjawab mereka dalam keluarga, termasuk membantu meringankan beban ibu bapa melalui tugas-tugas harian.

“Jadi ialah, buat ayahnya telah banyak berkorban. Jadi anak pula... melihat pada diri sendiri, pada diri mereka. Sejauh manakah pula telah kita melihat ibu ayah itu berkorban untuk kita, untuk anak? Sejauh mana pula anak ini dan sanggup berkorban berkhidmat kepada ibu ayah pula?” ujarnya lagi.

Tambah beliau, Aidiladha seharusnya dijadikan medan muhasabah bagi memperkukuh nilai kasih sayang, tanggungjawab, dan saling berkorban dalam kalangan ahli keluarga.

Beliau berkata demikian selepas menjadi tetamu Selamat Pagi Malaysia di Wisma Berita, Angkasapuri.

ROSLINA BINTI DIN