fb fb fb fb fb

Aidiladha ajar umat Islam syukuri nikmat dan pengorbanan, selari dengan konsep Keluarga Malaysia - PM Ismail Sabri

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan perutusan khas 
sempena sambutan Hari Raya Aidiladha)

KUALA LUMPUR, 9 Julai - Hari Raya Aidiladha mengajar umat Islam tentang erti mensyukuri nikmat dikurniakan Allah S.W.T dan berkorban membantu golongan yang memerlukan dan terpinggir.

Ia bukan sahaja mendidik umat Islam di negara ini menginsafi nasib mereka yang lebih daif malah mendorong masyarakat melakukan kebajikan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hikmah ini selari dengan konsep Keluarga Malaysia bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan.

Malah semangat toleransi yang berasaskan konsep Tasamuh dalam Islam menjadi salah satu elemen penting untuk mengekalkan perpaduan dan kesejahteraan Keluarga Malaysia.


(Foto fail)

"Kisah agung junjungan mulia Nabi Ibrahim Alaihissalam dan anakanda, Nabi Ismail Alaihissalam adalah iktibar yang perlu dihayati oleh seluruh Keluarga Malaysia dalam kita mendepani cabaran kehidupan seharian. Aidiladha memberi pengertian yang amat besar kepada umat Islam. Ia berkait rapat dengan keinsafan, pengorbanan, kebersamaan dan kesyukuran. Maka, dengan nilai-nilai ini kita dapat meneruskan kehidupan yang lebih harmoni di sebalik pelbagai ketidaktentuan dunia yang berlaku pada hari ini," kata beliau dalam perutusan khasnya sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, malam ini.

Tambahnya, sikap berlapang dada membolehkan negara terus maju membangun dan mencegah diri daripada perbalahan yang hanya akan merugikan ummah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata perbezaan fahaman politik juga harus diketepikan bagi membuktikan keinsafan dan kesyukuran bersama dalam meningkatkan martabat agama selain memupuk hubungan yang baik dengan rakan-rakan daripada keturunan dan agama yang lain.

Media Baharu