KUALA LUMPUR, 28 Ogos - Kecerdasan Buatan (AI) bukan ancaman terhadap pekerjaan manusia, sebaliknya peluang untuk meningkatkan produktiviti dan mewujudkan ruang baharu dalam pelbagai sektor.
Pengarah Ekspo Pemerkasaan Belia 2025 (YEF 2025), Khairoul Nazim Kamaruddin berkata, persepsi bahawa AI akan menggantikan manusia adalah tidak tepat kerana teknologi itu berfungsi sebagai pemangkin yang mempercepatkan penyelesaian tugasan.
“Dengan bantuan AI, tugasan yang dahulunya mengambil masa antara tiga hingga enam bulan kini dapat disiapkan dalam tempoh yang jauh lebih singkat. Hasilnya, produktiviti meningkat, peluang baharu terbuka luas dan Malaysia berpotensi melahirkan lebih banyak inovasi teknologi,” katanya selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia yang bersiaran dari Kota Media, Angkasapuri di sini.
Selain penguasaan ilmu, beliau menekankan bahawa keupayaan mengenal pasti masalah dan mengemukakan soalan dengan tepat merupakan kemahiran asas yang perlu dikuasai untuk memanfaatkan teknologi AI secara optimum.
“AI hanyalah satu alat. Kalau kita tidak tahu apa masalah sebenar yang hendak diselesaikan, maka sukar untuk mendapat jawapan yang betul. Di sinilah kemahiran bertanya soalan atau prompt engineering menjadi kunci,” tambahnya.
Menurutnya lagi, AI mampu menjadi rakan strategik kepada belia dalam menyelesaikan tugasan harian, menangani permasalahan kompleks dan mencari penyelesaian kreatif, selagi ia digunakan secara bijak dan beretika.