fb fb fb fb fb

Projek Pan Borneo Sabah perlu dipercepat, tender lebih telus - PM

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan akan mengambil pendekatan lebih tegas dan telus bagi mempercepatkan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Beliau mengakui kelemahan sistem pengagihan kontrak terdahulu telah menjejaskan kelancaran projek berkenaan, berbeza dengan Sarawak yang kini mencapai tahap hampir siap sepenuhnya.

"Sebab itu, sejak dua tahun yang lalu, kita minta supaya semua proses tender itu lebih telus dan tidak lagi beri alasan yang mesti syarikat tempatan, syarikat negeri. Sebaliknya, syarikat yang boleh buat termasuk syarikat besar dengan syarat mesti ada pengagihan projek- kecil itu ke syarikat negeri.

"Di Sabah sejak 7, 8 tahun lalu, projek diluluskan namun syarat-syarat negeri perketatkan dan kemudian pelaksanaan sangat lemah, banyak terpaksa dibatalkan malah kontrak disambung ada dua atau tiga kali. Saya dah tamatkan supaya kita boleh kontrak semula dan insya-Allah projek ini akan berjaya disiapkan," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr  Ronald Kiandee di Dewan Rakyat.

Jelasnya, langkah menamatkan kontrak bermasalah dan membuka tender baharu secara telus diyakini mampu memastikan projek Pan Borneo di Sabah kembali berada di landasan betul.

Perdana Menteri menegaskan, pendekatan berani dan telus ini penting agar rakyat Sabah dapat menikmati kemudahan infrastruktur lebih cepat, setara dengan Sarawak yang hampir menyiapkan keseluruhan projek Pan Borneo.

NIK MOHD HAFIZUL BAHARUDDIN

Hello