fb fb fb fb fb

AI dan GovTech jadi fokus pada Belanjawan 2026

Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR, 8 September - Kementerian Digital menumpukan kecerdasan buatan (AI) dan inisiatif GovTech dalam Belanjawan 2026 selaras dengan visi membina Negara AI 2030.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, perkara tersebut dibincangkan dalam perjumpaan bersama Kementerian Kewangan dan akan dikemukakan di Dewan Rakyat pada 10 Oktober ini.

"Sebagaimana yang telah dimaklumkan dalam Pembentangan RMK13, Perdana Menteri telah memberi penekanan kepada pembangunan negara AI menjelang 2030.

"Kementerian Digital juga memberi tumpuan terhadap pengukuhan perkhidmatan digital kerajaan melalui penubuhan institusi GovTech, yang bertujuan memastikan perkhidmatan ini dapat dinikmati oleh masyarakat dengan lebih baik," jelasnya

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan 'AI for Good (Educator) di ibu negara.

Dalam pada itu kementerian turut memfokuskan perkara berkaitan keselamatan siber dan perlindungan maklumat peribadi dalam belanjawan akan datang.

"Kementerian Digital kini sedang membangunkan struktur yang diperlukan bagi menyokong ekosistem digital baharu dan mengutamakan menubuhkan institusi-institusi ini dalam masa terdekat, sekali gus membina Negara AI menjelang tahun 2030," jelasnya lagi.

Sementara itu Persidangan Al for Good (Educator) yang julung kali diadakan menandakan pelancaran rasmi di Malaysia bagi ASEAN Al for Good (Educator) Train-the-Trainer bertujuan membekalkan para pendidik di semua peringkat, daripada sekolah rendah hingga universiti dengan pengetahuan dan alat kecerdasan buatan (Al) dalam menghadapi masa depan digital.

"Kita perlu menerima bahawa perubahan masa depan berlaku dengan cepat, dan pendidik mesti diberi sokongan untuk menguasai teknologi agar dapat memajukan negara serta melahirkan bakat di setiap sektor," katanya.

Persidangan hari ini dianjurkan bersama Meta,AI Singapore dan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO) dalam memberi panduan penggunaan teknologi AI kepada pendidik dan pelajar menghadapi masa depan digital.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI