KUALA LUMPUR, 8 September - Usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-Filipina serta kerjasama serantau di bawah ASEAN, menjadi fokus perbincangan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., hari ini.
Menerusi hantaran di Facebook, Anwar memaklumkan perbualan itu turut menyentuh isu keselamatan dan kestabilan rantau ini termasuk perkembangan konflik Thailand-Kemboja.
“Kami turut berbincang mengenai usaha bersama sebagai komitmen berterusan terhadap keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.
Selain itu, perbincangan berkenaan juga melibatkan aspek pembangunan ekonomi serta keperluan memperkukuh perpaduan dan kesepaduan ASEAN dalam menghadapi cabaran geopolitik semasa.