KUCHING, 25 Mei- Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) mampu menjadi pembantu kepada profesion kewartawanan dan bukan mengambil alih sepenuhnya tugas seorang wartawan, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Fahmi berkata tugas wartawan serta fungsi organisasi media akan lebih produktif melalui penggunaan AI terutama daripada segi pengumpulan data dan penyuntingan yang lebih efisien dan efektif.
"AI boleh bantu wartawan lebih produktif itu yang saya nampak.
"AI boleh membantu kerajaan sebagai contoh mengekang berita palsu atau maklumat yang tidak benar.. saya nampak AI 'can be for good if we know how to use it'," kata Fahmi menerusi temu bual khas bersempena HAWANA 2024 di sini.
Jelas Fahmi, semasa era 50-an hingga 70-an, terdapat jawatan yang dikenali sebagai pembantu wartawan yang berperanan menyediakan keperluan wartawan sebelum mereka memulakan salinan penulisan dan pelaporan.
Namun katanya, ketika kini tugas itu tidak lagi wujud sebaliknya boleh digantikan dengan teknologi AI dalam penghasilan pelaporan berita yang menuntut penulisan dan kajian yang pantas.
Dalam pada itu, Fahmi berkata penganjuran Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2024 di Kuching Sarawak, landasan tepat untuk mempersiapkan pengamal media tempatan dan memperkukuh hubungan dengan rakan rantau Asia Tenggara.
Ia bersesuaian dengan pemilihan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun depan.
Jelasnya, HAWANA kali ini menyedia ruang bagi wartawan ASEAN yang hadir untuk mengupas isu-isu berkaitan, sekali gus mempersiapkan negara agar memainkan peranan yang berkesan sebagai pengerusi ASEAN 2025 nanti.
"Kalau kita nak bercakap tentang ASEAN perlu ada media yang bercakap tentang ASEAN.. jadi kita kena lebih saling memahami dan interaksi yang lebih baik antara media.
"Itu yang saya nampak akan membantu untuk kita bercerita tentang masa depan ASEAN yang lebih cerah untuk semua.
"Kita harap tahun depan sempena kepengerusian ASEAN, kita boleh usahakan 'regional media roundtable' dan kita jemput wakil daripada pelbagai negara terutama di peringkat ASEAN, lebih daripada itu boleh untuk kita berbincang sama ada 'sharing stories'.
"..Banyak lagi yang kita boleh manfaatkan dan ini saya nampak satu perkara yang kita cuba laksanakan sempena kepengerusian ASEAN tahun depan," kata Fahmi.
Dengan tema “Etika Teras Kewartawanan Mapan” sambutan HAWANA kali berlangsung tiga hari bermula hari ini dengan pelbagai pengisian acara.
Antaranya, Pameran Hawana 2024 serta Persidangan Media Sarawak.
Selain Malaysia, negara ASEAN lain terlibat dalam HAWANA 2024 adalah Brunei, Indonesia, Filipina, Kemboja dan Vietnam.
Turut serta wakil dari Timor-Leste, Qatar, Kuwait, Jepun, China dan Korea.
Kemuncak sambutan adalah perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Isnin ini.