BEIJING, 31 Mei- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Penasihat Negara merangkap Menteri Keselamatan Awam, Wang Xiaohong sempena lawatan rasmi beliau ke China.
Perbincangan kedua-dua pemimpin itu berlangsung selama kira-kira sejam.
Pada pertemuan tersebut, Xiaohong menyatakan bahawa China akan menyokong Malaysia dalam memilih laluan pembangunan mengikut acuan sendiri termasuk konsep Malaysia MADANI oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beijing juga bersedia untuk meningkatkan lagi pertukaran peringkat tinggi supaya boleh membina masa depan bersama yang lebih baik melalui persefahaman dan membantu antara satu sama lain.
Ketika pertemuan itu, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan atas sambutan mesra Kerajaan China susulan lawatan rasminya selama 11 hari ke republik berkenaan yang akan berakhir esok.
Menurut Xiaohong lawatan rasmi delegasi Malaysia penting untuk meraikan ulang tahun lima dekad hubungan diplomatik Malaysia-China tahun ini.
Malaysia dan China mula menjalinkan hubungan dua hala secara rasmi pada 31 Mei 1974.