fb fb fb fb fb

Papan iklan terbakar: Sembilan mangsa diselamatkan bomba

Insiden berlaku di kilometer 33.8 Lebuhraya Persekutuan, di sini, hari ini.

KUALA LUMPUR 31 Mei- Seramai sembilan mangsa diselamatkan dalam kejadian kebakaran sebuah papan iklan digital di kilometer 33.8 Lebuhraya Persekutuan di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt M Hussin Sollehuddin Zolkifly dalam kenyataannya berkata kesemua mangsa adalah pekerja warga asing yang sedang menjalankan kerja penyelenggaraan ke atas papan iklan elektronik tersebut.

"Kesemua mangsa berumur 42 hingga 40 tahun mengalami kecederaan telah dirujuk ke ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Tiga mangsa masih ditahan di wad untuk rawatan lanjut manakala enam mangsa lagi telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan dibenarkan pulang. Terdapat sebuah motosikal milik pekerja turut terbakar," katanya.

Beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan pihak bomba.

Justeru, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan kes boleh menghubungi bilik gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi MERS 999 pada jam 1.15 tengah hari berhubung kejadian kebakaran papan iklan itu.

Seramai 17 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya, BBP Jalan Penchala, BBP Subang Jaya dan BBP Shah Alam serta Penolong Pengarah Operasi Negeri Ahmad Mukhlis Mukhtar hadir ke lokasi kebakaran.

“Setibanya pasukan bomba di tempat kejadian, didapati benar terdapat kebakaran melibatkan papan iklan besar.

“Kebakaran ini melibatkan sembilan orang mangsa dengan kesemuanya berjaya diselamatkan dan seterusnya diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu hari ini.

ZEHRA BINTI ZAMBRI