LABUAN, 31 Mei- Labuan Smart City atau Bandar Pintar Labuan yang memanfaatkan teknologi 5G Advanced atau 5.5G yang pertama seumpamanya di rantau ini antara yang menjadi perhatian Perdana Menteri dalam lawatan beliau di Labuan hari ini.
Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu merupakan antara komitmen Kerajaan MADANI dalam memanfaatkan inovasi dan teknologi demi pembangunan ekonomi negara yang berdaya mampan.
"Kita ada lihat taklimat daripada pihak Huawei dan Maxis tadi untuk menunjukkan 'proof of concept' atau POC (bukti kebolehlaksanaan) mengenai sistem 'smart city' (bandar pintar) yang memanfaatkan 5G Advance atau 5.5G yang mana kelajuan (jalur lebar) mencapai lapan Gigabit sesaat (Gbps) dan lebih 10 kali ganda jumlah ketersambungan.
"(Jadi) ini ada kemampuan yang baik dan masih diperingkat POC, hasilnya tadi Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) minta kita untuk teruskan penelitian dan lihat manfaat untuk program seperti ini," katanya selepas menghadiri Sesi Taklimat Pembuktian Konsep (POC) Labuan Smart City di Wisma Perbadanan Labuan di sini yang turut dihadiri oleh Perdana Menteri.
Selain Fahmi, turut mengiringi Perdana Menteri adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa serta Senator Tan Sri Anifah Aman.
Ini merupakan lawatan Anwar kali kedua ke Labuan, sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri pada November 2022.