fb fb fb fb fb

Ahli perniagaan mengaku tidak bersalah tipu pengarah syarikat

GEORGE TOWN, 12 Ogos- Seorang ahli perniagaan dihadapkan ke mahkamah atas lapan pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat membabitkan saham hampir RM1.9 juta, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong, 48, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town hari ini atas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Khalid Abdul Karim dan Hakim Mazdi Abdul Hamid.

Berdasarkan lapan pertuduhan terhadap Eng Leong, dia didakwa menipu Goh Kim Heong, 39 yang juga Pengarah syarikat Global Tobacco Manufacturer (International) Sdn. Bhd dengan memperdayakan lelaki itu untuk menyelesaikan kes cukai rokok dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Tertuduh dengan curangnya telah mendorong Kim Heong memindahkan 1,810,020 unit saham bernilai keseluruhan RM1,895,020 kepada syarikat Natural Transforms Sdn. Bhd milik tertuduh.

Eng Leong didakwa melakukan kesalahan itu antara April hingga Ogos 2019 di Nombor 29, Green Hall, George Town.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara antara setahun hingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM230,000 bagi lapan pertuduhan terhadap Eng Leong dengan seorang penjamin serta tiga syarat tambahan iaitu melapor diri kepada pegawai penyiasat kes setiap bulan, dilarang berjumpa dan mengganggu pengadu dan saksi kes selain memerlukan tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 27 September depan.


(Tertuduh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen George Town, hari ini)

Media Baharu