PUTRAJAYA, 26 Julai - Ahli Parlimen disaran menerapkan budaya berbahas dengan penuh sopan dan beradab ketika berhujah di Parlimen.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyaksikan Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025 berkata, beliau kagum dengan kaedah berbahas peserta pertandingan yang berhujah dengan fasih, berani, bijak mengolah fakta serta menonjolkan adab dan akhlaknya.
"Perdebatan harus dibahas dengan hujah secara sopan namun tegas tanpa menghina atau mencaci pihak yang berbeza demi memastikan Kerajaan Madani bukan sahaja maju dari segi teknologi tetapi juga kukuh dari segi nilai dan jati diri," katanya semasa berucap pada Pertandingan Akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya .
Hadir sama, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir dan Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad .
Edisi Bahas kali ini menampilkan empat pasukan terbaik berentap pada peringkat akhir dengan Sekolah Menengah Sultan Alam Shah muncul johan kategori Bahasa Inggeris, manakala Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang dinobatkan sebagai juara kategori Bahasa Melayu.