ALOR SETAR, 27 Jun - Tokoh Arkeologi Tersohor Negara, Prof Datuk Dr Moktar Saidin, 72, dinobatkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1447H Peringkat negeri Kedah.
Dilahirkan di Kampar, Perak, anak ke-5 daripada 7 beradik ini merupakan graduan lepasan Doktor Falsafah dari Universiti Sains Malaysia (USM) iaitu pengkhususan pembangunan ilmu arkeologi dalam konteks sejarah dan ketamadunan.
Beliau merupakan sosok utama perintis kepada penemuan Tamadun Kedah Tua yang bertapak di Sungai Batu semenjak kurun ke-8 sebelum Masihi.
"Apabila dimaklumkan mengenai anugerah ini, ia di luar dugaan kerana biasanya tokoh-tokoh dipilih dalam kalangan agamawan. Ini kali pertama pengiktirafan kepada ahli akademik yang menjalankan penyelidikan berkaitan arkeologi dan sejarah, jadi saya rasa ia sesuatu yang sangat baik untuk negeri dan negara," katanya selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kedah di sini.
Sementara itu, Masjid Jamek Badlishah, daerah Yan, diumumkan sebagai masjid terbaik bagi kategori bandar, manakala Masjid Nurul Ehsan, Paya Besar daerah Baling diumumkan sebagai masjid terbaik kategori luar bandar.
Selaku masjid terbaik, kedua-duanya kategori itu menerima wang tunai RM20,000, hadiah iringan dan sijil perhargaan.