fb fb fb fb fb

Siasatan lanjut insiden letupan di Ipoh diserah kepada polis

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad. - Foto BERNAMA

IPOH, 27 Jun- Kerajaan negeri menyerahkan siasatan lanjut berhubung kejadian letupan dan gegaran yang berlaku pada 18 Jun lepas kepada pihak polis

Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad, berkata setakat ini siasatan awal telah dilakukan namun tidak menemukan sebarang punca atau bukti secara khusus yang boleh dikaitkan dengan insiden berkenaan.

"Hanya satu agensi sahaja iaitu polis. Apa sahaja yang dilaporkan pihak polis, itulah yang akan menjadi laporan daripada negeri. Selagi tak jumpa kena cari," tegasnya ketika ditemui selepas merasmikan Malaysia Culinary World Cup (MCWC) 2025 di Meru.

Beliau berkata siasatan itu akan diteruskan hingga punca insiden itu ditemui kerana di Perak ia merupakan kejadian kali kedua, selain di Selangor turut berlaku insiden yang sama.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak pula mengesahkan bahawa bunyi berkenaan bukan berpunca daripada aktiviti kuari, ujian bom atau sonic boom daripada pesawat.
 Setakat ini, kajian geologi masih diteruskan, dan punca sebenar belum dikenal pasti.  

Insiden letupan dan gegaran yang dilaporkan berlaku dua kali di Perak iaitu pada 21 Oktober 2024 dan 18 Jun lepas yang didakwa berlaku di kawasan Chemor, Chepor, Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim, Manjoi dan Sungai Siput kira-kira 10 hingga 11 pagi.

Terdahulu, beliau merasmikan MCWC 2025 yang julung kali diadakan di Perak melibatkan kira-kira 800 perserta dari 16 negara, dengan 65 kategori dipertandingkan.

Penganjuran acara itu di Perak adalah langkah tepat dalam memperkasakan industri kulinari dan menyokong aspirasi menjadikan negeri ini sebagai Koridor TVET Negara seperti yang digariskan dalam agenda Perak Sejahtera 2030.

SITI NOORAIN ABDULLAH