fb fb fb fb fb

Ahli akademik diseru berani teroka pelbagai idea- NC UPSI

(Prof Md Amin merasmikan majlis sambutan Hari Akademia UPSI 2023 / FOTO UPSI)

TANJUNG MALIM, 12 Oktober- Golongan akademia atau ahli akademik bertanggungjawab sebagai insan yang memajukan universiti supaya unggul bukan sahaja dalam negara malah di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Prof Md Amin Md Taff berkata ahli akademik adalah nadi universiti dan berkat pengorbanan mereka hari ini UPSI semakin dikenali masyarakat dan antarabangsa berbanding lebih 20 tahun dahulu.

Malah, akademia UPSI diseru supaya terus bersemangat dan berani meneroka pelbagai idea dan inisiatif sekali gus melahirkan kebanggaan terhadap pencapaian universiti.

Ketika berucap sempena majlis sambutan Hari Akademia Peringkat UPSI di Dewan Jauhar, Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC), Kampus Sultan Azlan Shah anjuran Persatuan Kakitangan Akademik (PEKA) pagi tadi , katanya, universiti melakar pelbagai kejayaan yang membuatkan pelbagai pihak ingin membina kerjasama bersama universiti pendidikan ulung negara itu.

Terbaharu, 10 kakitangan UPSI berangkat ke University Of Pennsylvania, Amerika Syarikat menyertai PennGSE Teaching And Learning Summit dan Program PennPBL Institute anjuran Graduate School Of Education serta menghantar pensyarah kanan, Prof Madya Ts. Dr Mahizer Hamzah mengikuti program sangkutan di Masachusetts Institute of Technology, Amerika Syarikat.

Terdahulu seramai 12 pensyarah UPSI terpilih menyertai program Fellowships Australia 2023 di University of Sydney selain kejayaan Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) yang membuka pusat dan mengembangkan bahasa Melayu di SOAS University of London; Tashkent State University Oriental Studies (TSOUS), Uzbekistan; University of Dhaka, Bangladesh; Moscow State University, Moscow serta Middle East and Arab Centre for University Services (MEAC), Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain itu UPSI turut memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan Oxfor Centre for Islamic Studies ( OXIS).

Beliau berkata UPSI sebagai peneraju pendidikan Malaysia juga menawarkan kerjasama kepada institut pendidikan guru di negara ini untuk bersama-sama memajukan dunia pendidikan tanah air.

“Akademia UPSI harus berusaha mengembalikan kepercayaan masyarakat kepada akademia dan yakin dengan sumbangan kita dalam bidang masing-masing, “ katanya.

Ahli akademik, katanya, perlu menjadi peneraju idea baharu dan mengembang idea tanpa hanya menjadi pengikut malah sebagai muallim dan murabbi kerana kita yang melahirkan guru.

Pada tahun depan, majlis Hari Akademia akan disambut bersama majlis Anugerah Akademia Bitara (AKIRA) dalam skala yang lebih besar.

Sementara itu Yang Dipertua PEKA, Prof Madya Dr Mohd. Faizal Nizam Lee Abdullah berkata Hari Guru disambut dengan gilang-gemilang, begitu juga Hari Akademia harus disambut seumpamanya, kerana universiti melahirkan bijak pandai yang berilmu , berakal dan beradab demi kelangsungan masa hadapan.

Sempena Hari Akademia UPSI, pihak universiti mengadakan Forum Akademia membabitkan panel Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Seri Prof Dr Awang Sariyan dan Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Noor Amin Ahmad yang dipengerusikan pensyarah kanan FSK, Dr. Sahul Hamid Mohamed Maiddin dengan tajuk " Akademia Pemacu Malaysia Madani".

Hadir sama Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Marzita Puteh; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin serta Pendaftar, Helmi Zaifura Abdul Rahman.


(Prof Madya Dr Mohd Faizal Nizam Lee menyampaikan ucapan / FOTO UPSI)

Media Baharu