fb fb fb fb fb

Jualan Agro MADANI tawar barangan keperluan kepada rakyat

Program Jualan Agro Madani Khas Sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran ABC MAIPs

KANGAR, 31 Ogos- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Perlis menerusi Jualan Agro MADANI terus digerakkan dalam usaha membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

Sejak Januari hingga kini, sebanyak 190 program Jualan Agro MADANI telah dilaksanakan seluruh Perlis dari keseluruhan 233 program yang disasarkan sehingga penghujung 2024.

Pengarah FAMA Perlis Mohd Anzara Azizan, berkata nilai jualan yang dicatatkan sehingga kini mencecah RM2,515,841.00 dengan penglibatan seramai 1,559 usahawan.

"FAMA Perlis mensasarkan jumlah nilai jualan keseluruhan sepanjang Jualan Agro MADANI tahun ini mencecah RM 2.65 juta dengan penjimatan RM804,000 yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 penduduk di negeri itu.

"Usaha melaksanakan Jualan Agro MADANI yang melibatkan 57 outlet peruncitan FAMA dan 64 premis luar FAMA sehingga kini dalam usaha membantu pengguna mendapatkan barangan keperluan dengan harga lebih murah dan secara terus tanpa penglibatan orang tengah," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita dalam Program Jualan Agro Madani Khas Sempena Sambutan Hari Kebangsaan di Dataran ABC MAIPs yang turut disertai Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kangar, Affendi Rajini Kanth.

Selain produk usahawan program tersebut turut menawarkan 200 pek beras tempatan dan 67 set Kombo MADANI sempena Hari Kebangsaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI