fb fb fb fb fb

Agong zahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Elizabeth II

(FOTO FB ISTANA NEGARA)

KUALA LUMPUR, 5 Jun - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan tahniah kepada Ratu Great Britain, Ratu Elizabeth II, atas sambutan Jubli Platinum yang bermula pada hari Khamis lalu .

Sambutan berkenaan diadakan sempena ulang tahun ke-70 Ratu Elizabeth II bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Ia menjadikan Baginda sebagai Ratu paling lama memerintah dalam sejarah negara itu.

Menerusi hantaran di laman Facebook Istana Negara, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa suka cita di atas sambutan bersejarah itu dan menyifatkan Ratu Elizabeth II sebagai pemerintah yang prihatin terhadap kebajikan rakyat dan berdedikasi dalam berkhidmat kepada rakyat Britain dan negara anggota Komanwel.


(Foto FB Istana Negara)

Al-Sultan Abdullah mendoakan Ratu Elizabeth II dikurniakan kesihatan baik yang berpanjangan, kebijaksanaan dan kekuatan untuk terus bersemayam di atas takhta kerajaan Great Britain.

Baginda berharap agar hubungan dua hala yang rapat dan mesra antara Malaysia dengan Britain, akan terus diperkukuh terutama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan pelaburan.

Media Baharu