PUNCAK ALAM, 23 Julai- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya Hospital Al-Sultan Abdullah, Universiti Teknologi MARA (UiTM) menghasilkan kaedah perubatan dan vaksin tersendiri bagi menghadapi cabaran akan datang.
Al-Sultan Abdullah yang juga merangkap Canselor UiTM bertitah agar hospital tersebut dapat mencipta kaedah perubatan yang boleh menaikkan nama pusat perubatan itu selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
"Beta mencabar pengurusan hospital ini menghasilkan kaedah perubatan atau vaksin sendiri dan bukan sekadar perkhidmatan yang ada ketika ini.
Inilah antara harapan beta, jangkaan ini bersangkutan dengan nama beta di sini, beta berharap perjalanan dan urusan hospital ini akan menjadi antara yang terbaik di Selangor khususnya, Malaysia amnya,” titah baginda pada majlis perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah, di sini.
(Al-Sultan Abdullah bertitah pada majlis perasmian Hospital Al-Sultan Abdullah / Foto BERNAMA)
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.
Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr Roziah Mohd Janor.
Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda juga amat terharu dan berbangga hospital berkenaan dinamakan atas nama baginda dan berharap perkhidmatannya kepada rakyat dapat terus dipertingkat.
"Walaupun hospital ini berada jauh di mata, tetapi ia dekat di hati beta.
Beta berharap perkhidmatan hospital dapat dipertingkat dan namanya lebih terserlah lagi nanti,” titah baginda lagi.
Hospital Al-Sultan Abdullah mula beroperasi pada 5 April 2021 dengan menyediakan perkhidmatan secara berperingkat, melibatkan Klinik Pakar Perubatan, Klinik Pakar Wanita & Kanak-Kanak, Klinik Pakar Pembedahan & Ortopedik dan Klinik Pakar Psikiatri.
Pusat perubatan yang berkeluasan 18.4 hektar itu turut dilengkapi 400 katil pesakit selain mengetengahkan reka bentuk binaan bangunan yang mengambil ilham daripada elemen molekul air zam-zam.