JOHOR BAHRU, 23 Julai- Dua kanak-kanak lelaki warga Rohingya lemas semasa mandi bersama lapan rakan lain di sungai Kampung Bakar Batu, di sini pukul 2.00 petang semalam.
Mayat Mahmod, 11 tahun ditemukan pada pukul 9.50 pagi tadi, manakala Nojumullah Bibir Ahmad, 14 tahun ditemukan pada pukul 10.35 pagi.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.24 pagi tadi.
"12 anggota serta dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dihantar ke lokasi kejadian.
Turut terlibat dalam operasi, sembilan anggota pasukan khas mencari dan menyelamat di air (PPDA) BBP Skudai bersama dua bot dan kenderaan utiliti," katanya.
(Mayat salah seorang mangsa yang dijumpai oleh pihak berkuasa)
Mayat mangsa diserah kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi tamat pukul 11.40 pagi.