fb fb fb fb fb

Agong rasmi Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun, Labuan

(Yang di-Pertuan Agong berkenan menyempurnakan majlis pemasyhuran Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun, Wilayah Persekutuan Labuan, hari ini/FOTO Istana Negara)

LABUAN, 31 Mac - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian dan memasyurkan Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun di sini hari ini.

Baginda disambut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Turut hadir Senator Datuk Seri Anifah Aman, Ahli Parlimen Labuan Datuk Suhaili Abd Rahman dan pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan.

Baginda tiba di masjid pada pukul 12.15 tengah hari tadi dalam rangka lawatan tiga hari ke Wilayah Persekutuan itu bermula hari ini hingga 2 April.

Detik bersejarah perasmian masjid itu disaksikan hampir 1,000 penduduk kampung yang berkumpul seawal 11.30 pagi tadi.

Baginda turut menunaikan solat sunat tahiyatul masjid sebelum menyertai jemaah lain menunaikan solat Jumaat di ruang solat utama masjid itu.

Masjid tersebut dibina selama 34 bulan pada 5 Mac 2019 di atas tanah seluas 2.56 hektar yang dibiayai sepenuhnya oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kos sebanyak RM8 juta.

Masjid itu mampu menampung kapasiti jemaah sehingga 1,500 orang pada satu-satu masa.
 
Selain itu, Seri Paduka Baginda turut menyampaikan bantuan kepada golongan asnaf.

(Masjid Al-Sultan Abdullah di Kampung Sungai Bedaun)

Media Baharu