fb fb fb fb fb

Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha

(Foto FB Istana Negara)

KUALA LUMPUR, 28 Jun- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Menerusi catatan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda turut berdoa agar segala pengorbanan rakyat Malaysia dalam menjaga keharmonian serta kesejahteraan negara akan diberi ganjaran yang setimpal oleh Allah SWT.

"Baginda turut berdoa semoga Jemaah Haji Malaysia memperolehi Haji yang Mabrur dan selamat pulang ke tanah air tercinta," menurut catatan itu.

(Agong dan Raja Permaisuri telah berangkat untuk berwukuf di Arafah
dan seterusnya bermabit di Muzdalifah semalam/Foto FB Istana Negara)

Menurut Istana Negara, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah telah berangkat untuk berwukuf di Arafah dan seterusnya bermabit di Muzdalifah semalam (27 Jun).

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan paduka-paduka anakanda Seri Paduka Baginda.

Seri Paduka Baginda berdua seterusnya menyempurnakan Tawaf dan Saie Haji di Masjidil Haram.

"Baginda menzahirkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana telah dikurniakan keafiatan untuk berwukuf di Arafah dan bermabit di Muzdalifah sebagai persiapan peringkat akhir haji," menurut catatan itu.

Seri Paduka Baginda berdua dijadual berangkat pulang ke tanah air pada 2 Julai.

Media Baharu