fb fb fb fb fb

PM takbir raya bersama penduduk Sungai Long

(Datuk Seri Anwar melaungkan takbir raya bagi sambutan Hari Raya Aidiladha/BERNAMA)

KAJANG, 28 Jun- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyertai majlis takbir raya bersempena Hari Raya Aidiladha yang akan disambut esok.

Bacaan takbir raya dipimpin Imam Masjid Taman Rakan Sungai Long, Mohd Zamzuri Abu Othman dengan disertai ahli jawatankuasa, jemaah masjid dan penduduk setempat.

Laungan takbir turut disiarkan secara langsung oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerusi saluran TV1 serta di laman sosial rasmi Perdana Menteri, RTM dan Kementerian Komunikasi dan Digital.

"Alhamdulillah saya berkesempatan menyertai majlis takbir raya bersempena Hari Raya Aidiladha yang disambut esok.

"Semoga kehadiran Hari Raya Aidiladha ini membawa seribu keberkatan untuk kita semua." kata Anwar menerusi catatan Facebooknya.

Terdahulu Anwar yang lengkap berbaju Melayu tiba di masjid berkenaan pada pukul 7.19 malam disambut ahli jawatankuasa masjid dan jemaah.

Anwar bersama-sama jemaah kemudiannya berbuka puasa sebelum menunaikan solat maghrib berjemaah dan bersedia untuk takbir raya.

Selesai takbir, beliau meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama jemaah dan kanak-kanak sebelum meninggalkan masjid pada pukul 8.30 malam.

Esok, Perdana Menteri dijadual menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Putra, Putrajaya.


(Datuk Seri Anwar bersama jemaah masjid dan penduduk setempat melaungkan takbir raya bagi
sambutan Hari Raya Aidiladha yang disambut esok di Masjid Taman Rakan Sungai Long/BERNAMA)

Media Baharu