KUALA LUMPUR, 22 April- Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan mencemar duli untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat di Masjid Negara, di sini, hari ini.
Keberangkatan tiba Tuanku berdua pada pukul 8.15 pagi disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri.
Baginda dan Perdana Menteri masing-masing mengenakan pakaian lengkap Baju Melayu berwarna hijau dan biru.
Sejurus tiba, Seri Paduka Baginda berdua dan Perdana Menteri sempat bertakbir bersama kira-kira 10,000 jemaah yang hadir.
Solat sunat Aidilfitri dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohs Hosni yang turut menyampaikan khutbah bertajuk "Aidilfitri lebih bermakna".
Pengisian khutbah menyentuh tentang keperluan bermaaf-maafan sesama insan selain kepentingan berbakti pada ibu bapa untuk mendapat keredhaan Allah.
Para jemaah turut diingatkan bahawa Hari Raya Aidilfitri merupakan medan ujian bagi menguji keberhasilan tarbiah untuk meneruskan ibadah yang giat dilaksanakan sebelum ini sepanjang bulan Ramadan.
(FOTO BERNAMA)
Selesai solat sunat Aidilfitri, Al-Sultan Abdullah dan Datuk Seri Anwar sempat bersalam-salaman dengan para jemaah sebelum berangkat ke Istana Negara.
Seri Paduka berdua kemudian berangkat meninggalkan masjid pada pukul 9.15 pagi diikuti Anwar dan Jemaah Menteri serta Timbalan Menteri.