KUCHING, 30 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah akan terus dikenang oleh rakyat Sarawak dan Sabah sebagai raja berjiwa rakyat.
Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata rakyat jelata sentiasa dekat di hati baginda berdua dan Kembara Kenali Borneo tahun lalu yang di ilhamkan Al-Sultan Abdullah telah merentangkan jambatan emosi dan jambatan kenangan antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
"Pertama kali dalam sejarah pimpinan negara, tidak pernah sebelum ini berlaku yang dipertuan agong menjelajah ke dua buah negeri ke Sabah Sarawak," katanya ketika dihubungi RTM.
Kembara Kenali Borneo juga jelas menunjukkan keprihatinan baginda terutama mengenai masalah yang dihadapi rakyat di kedua-dua negeri. Malah baginda telah membawa Istana dekat di hati rakyat.
"Baginda merupakan raja yang bukan berada di Istana, baginda sanggup mencemar duli turun padang ke bawah mendekati dan menyantuni rakyat," tambahnya.
Al-Sultan Abdullah akan berangkat balik ke Pahang hari ini setelah menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Sudah pasti rakyat Sabah Sarawak akan merindui baginda berdua serta seluruh kerabat diraja Pahang.
Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar dipilih sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 untuk tempoh lima tahun bermula 31 Januari.