fb fb fb fb fb

31,411 calon menduduki SPM di Perak

Seramai tujuh calon menduduki SPM di hospital atas sebab kesihatan.

IPOH, 30 Januari- Seramai 31,411 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 di 323 pusat peperiksaan di Perak, bermula hari ini.

Menurut Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Datuk Mohamad Fauzi Mahson, daripada jumlah tersebut, seramai 119 orang merupakan Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CPBK).

"Seramai tujuh calon menduduki SPM di hospital atas sebab kesihatan.

"Bagi memastikan peperiksaan SPM negeri Perak berjalan lancar, seramai 2,399 orang petugas telah dilantik," katanya kepada pemberita ketika melakukan tinjauan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Perempuan, Ipoh.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Abidin Marjan berkata seramai 1,150 calon menduduki SPM 2023 di 14 pusat peperiksaan di Labuan.

Katanya, 98 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan itu berjalan lancar.

"95 mata pelajaran peperiksaan dijalankan serta tiada peperiksaan pada cuti hujung minggu dan hari kelepasan am atau negeri. Saya berharap calon peperiksaan memperoleh kejayaan yang diimpikan," kata Abidin kepada pemberita di Labuan.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM