KUALA LUMPUR, 20 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara hari ini.
Majlis itu diadakan sempena tamatnya pemerintahan Al-Sultan Abdullah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari ini.
Majlis itu dihadiri 2,500 tetamu yang terdiri daripada menteri Kabinet, Ahli Parlimen, duta serta perwakilan asing ke Malaysia.
Antara tetamu kenamaan yang hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Majlis yang bermula kira-kira 3 petang itu turut dihadiri tiga bekas Perdana Menteri, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Al-Sultan Abdullah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019, menggantikan Sultan Muhammad V iaitu Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Majlis turut dimeriahkan dengan persembahan orkestra oleh Kolej Yayasan Saad dari Melaka.
Pada majlis itu juga, baginda berdua turut meluangkan masa beramah mesra, bersalaman, dan berswafoto bersama tetamu yang hadir.