(FOTO FB ISTANA NEGARA)
KUALA LUMPUR, 8 Julai - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mantan Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe yang telah meninggal dunia hari ini.
Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian mendiang dan berharap agar seluruh keluarga mendiang sabar dan tabah menghadapi dugaan tersebut.
“Seri Paduka menyifatkan pemergian mendiang sebagai kehilangan besar negara Jepun dan rakyatnya,” menurut kenyataan itu.
Mengimbas kembali pertemuan Al-Sultan Abdullah dengan mendiang, Baginda berkenan menerima menghadap mendiang, yang juga Utusan Khas Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Istana Negara pada 11 Mac lalu.
(Foto FB Istana Negara)
Mendiang pada ketika itu dalam rangka lawatan tiga hari ke Malaysia sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang ke Timur dan 65 tahun penubuhan hubungan diplomatik Malaysia dan Jepun.
Pada pertemuan tersebut, Seri Paduka Baginda turut berkenan menganugerahkan ljazah Kehormat Doktor Falsafah Dalam Politik Ekonomi kepada mendiang sempena Majlis Konvokesyen ke-36 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
Sesi menghadap tersebut merupakan pertemuan kedua Al-Sultan Abdullah dengan mendiang selepas yang pertama ketika Baginda menghadiri Istiadat Pertabalan Maharaja Jepun ke-126 Maharaja Naruhito di Istana Imperial, Tokyo, Jepun pada 23 Oktober 2019.