(FB Istana Negara)
KUALA LUMPUR, 9 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandaria menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas Pengerusi dan Pengasas bersama AirAsia Bhd, Datuk Pahamin Rajab yang meninggal dunia semalam.
Seri Paduka baginda berdua menzahirkan harapan agar seluruh keluarga Allahyarham sabar dan tabah dengan dugaan berkenaan.
"Seri Paduka baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman dan beramal soleh.
"Seri Paduka baginda berdua menghargai jasa, khidmat dan bakti Allahyarham kepada negara," titah baginda menerusi Facebook Istana Negara.
Datuk Pahamin, 77, disahkan meninggal dunia di London, United Kingdom, malam tadi akibat serangan jantung.
Allahyarham pernah berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dari 1998 hingga 2001 dan sebelum itu sebagai Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan bermula 1974 hingga 1998.
(Allahyarham Pahamin Rajab)
Artikel berkaitan:
Bekas Pengerusi AirAsia Bhd Datuk Pahamin Rajab meninggal dunia