fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri ucap tahniah kepada beregu lelaki badminton negara

KUALA LUMPUR, 28 Ogos- Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong menzahirkan ucapan tahniah kepada beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik atas kejayaan melakar sejarah menjadi pemain badminton pertama negara berjaya bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia.

Menerusi catatan di laman sosial Facebook rasminya, Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan rasa sukacita dan bangga di atas kejayaan mereka yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.


(Foto Facebook Istana Negara)

Pencapaian cemerlang Aaron Chia dan Soh Wooi Yik telah sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia mampu melahirkan atlet yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa.

Dengan iltizam, semangat perjuangan yang tinggi, usaha yang bersungguh-sungguh rakyat Malaysia mampu bersaing dan berjaya di peringkat dunia.

Seri Paduka Baginda berdua turut menzahirkan harapan semoga pencapaian ini akan membakar semangat Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk terus berlatih dan bekerja keras untuk kejohanan kelak serta menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Seri Paduka Baginda berdua menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dan mendoakan semoga mereka dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan.

Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menamatkan penantian gelaran sulung negara di pentas Kejohanan Badminton Dunia selepas beregu yang berada pada kedudukan keenam dunia itu mengalahkan pasangan dari Indonesia Mohammad Ahsan-Hendra, 21-19,21-14 pada aksi perlawanan akhir, edisi ke-27 yang berlangsung di Gimnasium Metropolitan Tokyo, Jepun hari ini.

Media Baharu