fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri dukacita tidak dapat singgah santuni rakyat di beberapa lokasi

(FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 15 September- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berhasrat berangkat menyantuni rakyat di lokasi-lokasi yang tidak sempat disinggahi baginda berdua ketika mengembara di Sabah dan Sarawak pada masa akan datang.

Malah, sekiranya keadaan tidak mengizinkan, bermungkinan paduka-paduka anakanda akan mewakili baginda berdua.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Mejar Jeneral Datuk Zahari Mohd Ariffin menerusi satu kenyataan memaklumkan, baginda telah menzahirkan rasa dukacita kerana tidak dapat singgah di beberapa lokasi seperti yang telah dirancangkan atas faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan dan bukanlah disengajakan.

"Di negeri Sabah, rombongan Kembara Kenali Borneo tidak dapat singgah di Menara Kayangan, Lahad Datu yang telah dijadualkan pada 4 September 2023 dan Tagal, Sungai Moroli, Ranau pada keesokan harinya (5 September 2023).

"Manakala di negeri Sarawak, rombongan pula tidak dapat mengunjungi Tokong Yu Lung Sian En Si, Sibu yang telah dijadualkan pada 11 September 2023, rombongan juga tidak dapat mengunjungi Masjid Bandar Sri Aman dan kemudiannya, Fort Alice di Sri Aman pada keesokan harinya (12 September 2023).

Tambah Mejar Jeneral Datuk Zahari, baginda berdua, dalam menyantuni ribuan rakyat yang menunggu sepanjang jalan, juga mengejar masa untuk berangkat tiba di majlis-majlis santapan malam bersama rakyat yang melibatkan kehadiran ratusan atau ribuan hadirin pada waktu yang telah ditetapkan pada hari-hari berkenaan.

"Seri Paduka Baginda berdua amat prihatin terhadap keterujaan dan semangat kasih rakyat yang setia menunggu ketibaan rombongan untuk bertemu, bersalaman dan bergambar dengan baginda berdua di lokasi-lokasi tersebut,"menurut Mejar Jeneral Datuk Zahari.

Program Kembara Kenali Borneo yang julung kali diadakan bermula di Tawau, Sabah pada 3 Sept lepas dan melabuhkan tirai di Telok Melano, Sarawak pada Rabu.

Jelajah yang melibatkan perjalanan sejauh 2,154 kilometer menelusuri Lebuhraya Pan Borneo menghubungkan Sabah, Sarawak serta Brunei mendapat sambutan luar biasa daripada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.


(FOTO BERNAMA)

Media Baharu