fb fb fb fb fb

Agong, Permaisuri berkenan lawat mangsa kebakaran

KUANTAN, 28 April - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli menziarahi empat mangsa kebakaran rumah yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Kebakaran yang berlaku pada pukul 3 pagi tadi di Permatang Badak, Kuantan telah mengorbankan seorang kanak-kanak berusia 2 tahun, manakala empat lagi parah kini dirawat di hospital itu.

Keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah ke lobi utama HTAA pada 3.15 petang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah. 

Turut berada di HTAA ialah Pengarah Bomba dan Penyelamat Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa, Pengarah Kesihatan Pahang Datuk Dr Nor Azimi Yunus dan Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu. 

Seri Paduka Baginda Berdua seterusnya meluangkan masa hampir 35 minit melawat mangsa di ICU selain turut berkenan mendengar taklimat ringkas Wan Mohammad Zaidi Wan Isa mengenai kebakaran tersebut sebelum berangkat pulang pada 3.55 petang. 
  


(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli menziarahi mangsa kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini)

Kebakaran yang melibatkan dua rumah teres jenis semi-D setingkat di Jalan Permatang Badak Perdana 2 di sini, pada 3.15 pagi itu turut mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun.

Sementara itu, Wan Mohd Zahari berkata mangsa yang maut ialah Aisliki Mohd Saupi manakala mereka yang cedera parah ialah bapa mangsa Mohd Saupi Mat Daud, 37; Nurolzila Mohd Nor (isteri Mohd Saupi), 31; adik Mohd Saupi, Siti Shaida, 32; dan rakan Mohd Saupi, Mohd Azwan Kali, 35 tahun.

"Kebakaran dipercayai bermula di ruang tamu rumah dengan disusuli bunyi letupan sebelum api mula merebak ke rumah jiran yang didiami sepasang suami isteri bersama dua anak.

"Bagaimanapun, penghuni di rumah jiran termasuk seorang bayi perempuan berusia lapan bulan dan kanak-kanak lelaki berusia lima tahun hanya cedera ringan," katanya semasa dihubungi di sini hari ini. 

Wan Mohd Zahari berkata setakat ini, punca sebenar kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Manakala, menurut Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus memaklumkan, tiga daripada empat yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Tambahnya, pemilik rumah terbabit juga melecur sebanyak tujuh peratus di bahagian muka dan masih tidak sedarkan diri.

Kebakaran melibatkan dua rumah teres jenis semi-D dipercayai bermula di ruang tamu sebelum api merebak ke rumah jiran.
 

Media Baharu