(Al-Sultan Abdullah berkenan mengurniakan Darjah Panglima
Gagah Berani (PGB) kepada Sarjan Norihan pada Istiadat Pengurniaan Darjah,
Kebesaran Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara/Foto Bernama)
KUALA LUMPUR, 20 Julai- Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara.
Turut berangkat ke istiadat itu, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Seramai 292 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG), Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Holdings Berhad, Datuk Mohd Nazrul Izam Mansor mendahului senarai penerima dengan dikurniakan Darjah Johan Mangku Negara (JMN).
Istiadat kali ini menyaksikan 11 individu menerima darjah Johan Mangku Negara (JMN), sementara 13 penerima darjah Johan Setia Mahkota (JSM).
Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mengurniakan dua individu darjah Johan Setia Diraja (JSD), manakala 69 penerima Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN).
Bagi Bintang Kesatria Setia Diraja (KSD) diberikan kepada empat penerima dan 90 individu bintang Ahli Mangku Negara (AMN).
Al-Sultan Abdullah juga berkenan mengurniakan 88 individu Pingat Pangkuan Negara (PPN), 12 penerima pingat Bentara Setia Diraja (BSD), dua penerima pingat Bentara Setia Diraja (BSD), dua menerima BSD Kehormat dan seorang penerima Darjah Panglima Gagah Berani (PGB).
(Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat
pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara/Foto Bernama)
Istiadat pada hari ini menyaksikan seorang Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) iaitu Sarjan Norihan a/l Tari menerima Darjah Panglima Gagah Berani (PGB)
Sarjan Norihan a/l Tari dianugerahkan darjah itu atas keberaniannya menumpaskan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar pada 24 November 2020.
Beliau yang sedang membuat rondaan risikan di sekitar kawasan TS10 sehingga TS9 itu terserempak dengan kumpulan penyeludup yang kemudian melepaskan tembakan mengenai rusuk kiri dan perutnya.
Dua butir peluru masih berada dalam badan Sarjan Norihan, iaitu di tulang belakang sehingga sekarang.
Operasi itu berjaya menemukan beberapa guni disyaki mengandungi daun ketum.
Insiden berbalas tembakan itu turut mengorbankan seorang anggota PGA, Sarjan Baharuddin Ramli.
Turut hadir pada istiadat berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali.
Sementara itu, penerima pingat menjunjung kasih atas pengurniaan sedemikian; dengan menyifatkan ia satu inisiatif menghargai sumbangan mereka yang terdiri daripada pelbagai bidang.
"Saya sebagai anggota PGA merasa bangga, pihak kerajaan, pihak istana mengambil berat terhadap apa yang kami curahkan bakti untuk negara.
"Seperti hari ini dapat Anugerah Panglima Gagah Berani, bukan mudah untuk dapat anugerah ini, melalui tapisan yang ketat dan saya bersyukur," kata penerima Darjah Panglima Gagah Berani (PGB), Anggota Pasukan Gerakan Am, Sarjan Norihan a/l Tari.
(Sarjan Norihan a/l Tari)
"Ini merupakan satu pengiktirafan kepada wartawan seperti kami, dalam aspek menyampaikan berita dan maklumat sahih kepada rakyat.
"Kita juga barisan hadapan dalam memastikan perspektif berita itu disampaikan dalam bentuk lebih tepat dan jitu kepada rakyat," kata Penerima Bintang Ahli Mangku Negara (AMN), Wartawan RTM, Mohan a/l Chinnasamy.
(Mohan a/l Chinnasamy)